Saturday, March 12, 2011

Sebutir Bintang Yang Sukar Di Cari Ganti

Semalam....tanpa di sengajakan, saya terbuka saluran History bertajuk Sudirman Arshad. Memang saya cuba mengelak dari menyaksikan kisah biografi ini kerana Sudir .....insan yang sangat rapat di hati saya.

Langsung teringat , beberapa bulan yang lalu,saya menghubungi  Puan Bahyah Mahmood (kak BAM) , bekas wartawan hiburan yang paling rapat dengan Sudir ,yang saya anggap seperti ibu saya sendiri. Niat sekadar ingin bertanya khabar.Pantas kak Bahyah meminta nombor telefon saya..."Tie, berapa nombor Tie. Puas Kak Bahyah cuba contact Tie." Saya berikan nombor saya yang sememangnya sudah ditukar selepas penceraian saya."Kenapa kak Bahyah?", tanya saya."Tie, ada seseorang contact Kak Bahyah, dia nak buat kisah tentang Sudir..dan kisah ini akan disiarkan di peringkat antarabangsa."Di pendekkan cerita, kak bahyah mencadangkan saya menjadi sebahagian dari kisah ni disamping beberapa orang lagi seperti Azhar ( salah seorang peminatnya), kak Chah (Habsah Hassan), Kak Bahyah sendiri dan ramai lagi.

Pantas saya menolak , " Tak nak lah.Silap haribulan kisah Sudir akan akhirnya menjadi kisah Tie dan Sudir. " 'Baguslah macam tu...biar semua orang tahu. Inilah masanya orang tahu kisah Tie," balas Kak Bahyah.Biasalah...a reporter will always be a reporter . Saya menolak....kerana Sudir tidak ada untuk mengatakan apa yang  akan saya kisahkan sesuatu yang benar.Apa kata orang nanti. Saya seorang guru yang ada reputasi. Biarlah kisah kami menjadi suatu rahsia yang abadi.

Semalam....melihat kisah mengenai Sudir, saya baru sedar...tidak ada sesiapa yang menyedari kewujudan saya di saat-saat akhir kehidupannya. Jika sebelum ini saya cuba  memadam segalanya berkaitan Sudir, tidak mahu mendengar sebarang cerita tentangnya, tidak mahu mendengar lagu-lagunya, tidak mahu memperkatakan apa-apa tentangnya, namun sebaik saja kisah biografi tentangnya tamat, saya pantas mencari surat-suratnya yang menjadi kenangan paling berharga dalam hidup saya. Saya hampir menghapuskan semua kenangan yang ada bersamanya kerana mengingatinya adalah suatu penyiksaan buat saya.Untuk pertama kali setelah ketiadaannya, saya memberanikan diri membaca kembali surat-surat dan kad-kadnya.Sepucuk surat paling berharga hilang di tangan kak Bahyah. Hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui betapa pedihnya untuk mengenang kembali kisah silam yang pahit, yang mengimbas kembali saat berita kematiannya sampai ke pengetahuan saya. Terlalu banyak yang berlaku.Terlalu banyak yang perlu di telan. Saya terlalu sedih, terlalu ingin menangis,Mata terasa berat dengan airmata,dada terasa ketat, kerongkong saya tersekat...namun airmata ini tidak mampu mengalir laju.Hati saya meraung namun saya masih mampu menahan airmata ini dari terus mengalir.Mahu saja saya telefon kak Bahyah mencurahkan rasa hati tapi...apa gunanya semua ini bila insan yang saya kasihi ini sudah tidak ada lagi di dunia ini.Dia tidak akan kembali....Menangis airmata darah sekalipun, tidak akan mengembalikan dia ke dalam hidup saya.

Baru hari ini saya sedar....sikap saya yang cuba menafikan kewujudan Sudir di dalam hidup saya sebelum ni, sebenarnya juga telah menafikan kewujudan saya di dalam kehidupannya.

Perlukah saya menceritakannya atau terus-terusan menjadi misteri selama-lamanya. Sungguh....saya tidak pasti.