Monday, March 21, 2011

KISAH HANTU DAN SAYA

Baru-baru ini, saya dan rakan-rakan sekerja berkongsi beberapa cerita seram. Kak Dila....sudah tentu kisah jin yang menghuni dirinya sehingga kini gara-gara APC yang diterimanya.Sebelum ini dia pernah di santau.   Kadang-kadang lucu juga mendengar kisah dari kawan-kawan saya ini. Kak Dila contohnya memberitahu bahawa tubuhnya dihuni jin islam yang jahat. Jin ini katanya bercakap bahasa siam, bila ditegur seorang ustaz, "kau ni tak boleh cakap melayu rupanya", terus jin tu cakap, "Apasal pulak tak boleh, tuan aku kan orang Melayu?"...lucu betul. Sakit perut saya ketawa.  Lepas tu saya bergurau dengan Kak Dila, " kalau kak Dila penat mengajar, kak Dila suruh je jin tu ngajar, biar dia cakap siam".

Kak Yan pulak dengan kisah rumahnya yang sering diganggu makhluk halus. Langsung teringat cerita "A haunting' di Discovery Channel yang menjadi kemestian saya pada setiap malam Jumaat pada pukul 11 malam.Pukul 10 mlm yang sama , saya akan mengadap pulak cerita Ghost Lab.Memang saya suka cerita berbentuk realiti atau penceritaan semula. Asalkan ianya bukan cerita yang direka-reka atau dibuat-buat seperti cerita 'Seekers', itu sudah memadai buat saya. Orang putih ni buat cerita untuk membuktikan sama ada hantu itu benar-benar wujud atau sekadar imginasi seseorang tetapi orang melayu buat cerita dengan meletak seseorang di satu tempat gelap dan menakutkan mereka. Di akhir cerita tidak ada satu pun jelmaan hantu yang dilihat.

Dalam pada menonton kisah-kisah seram, saya juga tidak terkecuali menjadi antara yang suatu ketika dahulu sering di usik oleh makhluk halus. Ada beberapa cerita yang ingin saya kongsikan tetapi bukan dengan tujuan untuk menakutkan , sebaliknya sekadar mengingatkan para pembaca blog saya  bahawa sebagai seorang muslim atau muslimah, kita harus percaya dengan kewujudan makhluk ini tetapi dalam masa yang sama kita perlu ingat yang Maha Berkuasa hanyalah Allah S.W.T

Teman Mandi

Pada suatu malam, di asrama SMK Agama (P) Almashoor, Pulau Pinang, saya memandang jam ditangan...tepat jam 11 malam. Tiba-tiba hati bagai di ajak untuk mandi malam sendirian. Saya hanya sempat memberitahu kawan sebilik, " rasa cam nak mandi pulak." Pantas saya mencapai tuala dan baldi kecil berisi berus gigi, ubat gigi dan sabun mandi. Terfikir sejenak, " nak mandi kat mana ye ?". (pada setiap tingkat memang ada bilik mandi) . Saya akhirnya membuat keputusan untuk mandi di bilik bawah sekali. Di situ sebenarnya bilik untuk pelajar-pelajar basuh baju. Kadang-kadang apabila bilik air dipenuhi ramai, pelajar, saya dan beberapa kawan akan mandi di bilik basuh ini.

Saya pantas turun. Sebaik saya masuk kedalam bilik tersebut, saya menyangkut tuala dan menuju ke cermin untuk mengosok gigi. Ketika itu,tiba-tiba saja,' seseorang' masuk ke bilik yang sama. Saya tidak memandang ke arah 'pelajar' ini tetapi dari ekor mata, saya dapat melihat dia berkemban dan berada betul-betul di sebelah saya. Saya mengelak dari bersoal jawab di dalam hati tetapi fikiran saya sudah dapat menyimpul bahawa di bahagian paling bawah asrama memang tidak ada bilik asrama. Saya memang nampak dengan jelas, 'dia' datang dari arah luar kawasan mengeringkan pakaian. Pada waktu-waktu begini, biasanya tidak ada pelajar yang berani menyidai pakaian.

Saya masih belum pun menggosok gigi, hanya memegang berusnya. Hati kemudian berubah, saya fikir, kalau saya was-was, baik saja saya tidak teruskan (mandi). Dengan berhati-hati , saya mengambil tuala dan berkata "tak jadilah mandi."....seolah-olah berkata kepada diri sendiri. Saya menyusun kaki melangkah anak tangga dengan pantas. belum pun sempat melangkah lebih tinggi, terdengar suara dari dalam bilik basuh, " tak jadi ke, dah tahu!". Suara dari dalam garau bunyinya. Saya terhenti kemudian bertanya semula, "apa dia?" . Saya melangkah turun dan menjenguk kedalam bilik basuh, kosong! Saya naik ke bilik....tanpa apa2 perasaan. Nak kongsi dengan kawan pun, saya pun tak tahu nak cerita apa sebab yang saya nampak rupanya seperti manusia biasa.

Bila fikirkan balik saya sangat bersyukur saya tidak memandang ke arah muka  makhluk itu atau mandi bersama dengan 'nya'.Kalau tidak, entah apa yang akan berlaku pada malam itu. naauzubillah.
Alhamdulillah Allah telah  menyelamatkan saya pada malam itu.

SIAPAKAH ITU ?

Sekitar pertengahan tahun 90 an, saya menyewa di Wangsa Maju Seksyen 1, block E12, betul-betul berdepan jalan. Pada ketika itu saya mengajar di Setapak dan belum lagi mempunyai kereta. Faham-faham saja lah  ketika itu  Setapak adalah kawasan paling sesak dan untuk memastikan saya sampai ke sekolah tepat pada masa, saya akan keluar dari rumah seawal 6.30 pagi menunggu di perhentian bas di jalan besar bertentangan dengan Desa Setapak. Biasanya pada waktu-waktu begitu, bas Leng Seng yang selalu saya naiki pun sudah dipenuhi manusia. Berdirilah saya sepanjang perjalanan.

Pada suatu pagi yang gelap, saya keluar seperti biasa cuma pada hari tersebut saya tidak perasan, tidak ramai orang yang keluar pada pagi tu tidak seperti selalunya. Pagi itu, saya berjalan menuju perhentian bas sendirian, tanpa sebarang rasa takut di hati. Menghampiri saja perhentian bas, dari jarak 7 meter, saya dapat melihat seorang lelaki bersandar di tepi jalan.Saya tidak dapat melihat wajahnya kerana terlalu gelap. Tiba-tiba lelaki ini merapati saya. Dia datang berdepan saya....saya masih tidak dapat melihat wajahnya. Didalam hati saya sangka dia mungkin bekas pelajar saya kerana dia seperti memakai baju sekolah. Dia cuba memegang saya, saya menepis dengan perlahan dan bertanya dengan suara yang lembut, " Siapa ni? " " awak pelajar saya ke?" Dia masih diam, tidak ada sepatah perkataan pun dikeluarkan. Dia cuba memeluk saya tetapi saya bertalu-talu bertanya dengan baik. " Awak tinggal mana ni?"  "Saya kenal awak ke?" Setelah beberapa cubaan seperti untuk memeluk saya dengan lembut gagal,tiba-tiba saya bagai tersentak, dia hilang sekelip mata dan dalam jarak tiga  meter di hadapan saya, perhentian bas terang benderang dengan beberapa orang sedang duduk menunggu ketibaan bas. Saya kebingungan sebentar . Saya terus duduk di bangku perhentian dan bertanya seorang wanita sama ada dia sudah lama menunggu di situ. Wanita itu hanya mengangguk. Lampu perhentian bas sangat terang sedangkan ketika saya datang pada mula tadi ianya agak gelap. Saya mula sedar apa yang telah berlaku. Saya cuba mengawal emosi saya, lutut saya mengeletar ketika saya menaiki bas. Dada saya berdebar.Kus semangat. Sebaik tiba di sekolah, saya kongsikan cerita saya dengan beberapa orang yang ada di pejabat untuk menghilangkan debar saya. Pada ketika itu, saya masih belum pasti apa yang berlaku. Yang saya tahu, seseorang cuba memeluk saya.Tapi setelah memikirkannya beberapa kali, saya yakin, makhluk itu bukan manusia. Kalau tidak masakan perhentian bas yang kosong dan gelap, tiba-tiba saja terang dan di penuhi beberapa orang. Kalau tidak masakan ' ia' hilang sekelip mata.

Keesokan harinya, saya ingin pergi ke sekolah lagi. Separuh perjalanan ke perhentian bas....dada saya berderau. Saya tahu, ada sesuatu yang sedang menunggu saya dan ianya bukan manusia.
Saya berpatah balik dan  meminta rakan serumah menghantar saya ke perhentian bas. Minggu seterusnya baru semangat saya untuk berjalan ke perhentian bas pulih semula. Alhamdulillah.

Ada lagi...nanti ya.




Saturday, March 12, 2011

Sebutir Bintang Yang Sukar Di Cari Ganti

Semalam....tanpa di sengajakan, saya terbuka saluran History bertajuk Sudirman Arshad. Memang saya cuba mengelak dari menyaksikan kisah biografi ini kerana Sudir .....insan yang sangat rapat di hati saya.

Langsung teringat , beberapa bulan yang lalu,saya menghubungi  Puan Bahyah Mahmood (kak BAM) , bekas wartawan hiburan yang paling rapat dengan Sudir ,yang saya anggap seperti ibu saya sendiri. Niat sekadar ingin bertanya khabar.Pantas kak Bahyah meminta nombor telefon saya..."Tie, berapa nombor Tie. Puas Kak Bahyah cuba contact Tie." Saya berikan nombor saya yang sememangnya sudah ditukar selepas penceraian saya."Kenapa kak Bahyah?", tanya saya."Tie, ada seseorang contact Kak Bahyah, dia nak buat kisah tentang Sudir..dan kisah ini akan disiarkan di peringkat antarabangsa."Di pendekkan cerita, kak bahyah mencadangkan saya menjadi sebahagian dari kisah ni disamping beberapa orang lagi seperti Azhar ( salah seorang peminatnya), kak Chah (Habsah Hassan), Kak Bahyah sendiri dan ramai lagi.

Pantas saya menolak , " Tak nak lah.Silap haribulan kisah Sudir akan akhirnya menjadi kisah Tie dan Sudir. " 'Baguslah macam tu...biar semua orang tahu. Inilah masanya orang tahu kisah Tie," balas Kak Bahyah.Biasalah...a reporter will always be a reporter . Saya menolak....kerana Sudir tidak ada untuk mengatakan apa yang  akan saya kisahkan sesuatu yang benar.Apa kata orang nanti. Saya seorang guru yang ada reputasi. Biarlah kisah kami menjadi suatu rahsia yang abadi.

Semalam....melihat kisah mengenai Sudir, saya baru sedar...tidak ada sesiapa yang menyedari kewujudan saya di saat-saat akhir kehidupannya. Jika sebelum ini saya cuba  memadam segalanya berkaitan Sudir, tidak mahu mendengar sebarang cerita tentangnya, tidak mahu mendengar lagu-lagunya, tidak mahu memperkatakan apa-apa tentangnya, namun sebaik saja kisah biografi tentangnya tamat, saya pantas mencari surat-suratnya yang menjadi kenangan paling berharga dalam hidup saya. Saya hampir menghapuskan semua kenangan yang ada bersamanya kerana mengingatinya adalah suatu penyiksaan buat saya.Untuk pertama kali setelah ketiadaannya, saya memberanikan diri membaca kembali surat-surat dan kad-kadnya.Sepucuk surat paling berharga hilang di tangan kak Bahyah. Hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui betapa pedihnya untuk mengenang kembali kisah silam yang pahit, yang mengimbas kembali saat berita kematiannya sampai ke pengetahuan saya. Terlalu banyak yang berlaku.Terlalu banyak yang perlu di telan. Saya terlalu sedih, terlalu ingin menangis,Mata terasa berat dengan airmata,dada terasa ketat, kerongkong saya tersekat...namun airmata ini tidak mampu mengalir laju.Hati saya meraung namun saya masih mampu menahan airmata ini dari terus mengalir.Mahu saja saya telefon kak Bahyah mencurahkan rasa hati tapi...apa gunanya semua ini bila insan yang saya kasihi ini sudah tidak ada lagi di dunia ini.Dia tidak akan kembali....Menangis airmata darah sekalipun, tidak akan mengembalikan dia ke dalam hidup saya.

Baru hari ini saya sedar....sikap saya yang cuba menafikan kewujudan Sudir di dalam hidup saya sebelum ni, sebenarnya juga telah menafikan kewujudan saya di dalam kehidupannya.

Perlukah saya menceritakannya atau terus-terusan menjadi misteri selama-lamanya. Sungguh....saya tidak pasti.

Wednesday, March 2, 2011

Lawatan ke Taman Burung

Pada cuti bulan Mac yang lepas, saya membawa anak-anak saya yang seramai tiga orang dan anak-anak adik saya berjalan2. Mulanya kami ingin bermain layang-layang di tepi pantai tapi cuaca yang kurang baik membuatkan saya menukar fikiran. Saya beri pilihan kepada mereka sama ada untuk menonton wayang atau ke Taman Burung. Pilihan mereka ialah ke Taman Burung.Jadi di sini saya paparkan beberapa gambar yang menjadi kenangan kami di sana. Semua orang ingat mereka semua anak2 saya yang seramai enam orang.Tak kisahlah...3 ke 6 ke...semuanya darah daging saya.