Tuesday, June 23, 2009

Life is so easy

Hidup ini ibarat perjalanan yang tersekat-sekat. Jarang sekali bergerak dengan lancar. Ada saja halangan yang merentanginya.Begitu juga dengan kehidupan saya, tidak semuanya indah-indah belaka. Bertahun-tahun hidup selesa dan bahagia membujang, perkahwinan sebenarnya menamatkan kebahagiaan saya. Kalau dulu, hidup saya cukup mudah...pagi bekerja, petangnya saya keluar mencari rezeki lebih dengan memberi tuisyen dari rumah ke rumah, malamnya pula saya sibuk menyiapkan assignment yang menimbun. Sekali sekala saya akan keluar makan dan menonton wayang bersama teman-teman baik Shan , Sherry . Di hujung perjalanan hidup membujang, saya tinggal sendirian dengan menjadikan rumah sewa sebagai pusat tuisyen. Cuti sekolah saja , saya dan rakan-rakan rapat Shan dan Zakiah akan menghilangkan diri ke pulau-pulau atau ke luar negara. Tak banyak yang hendak difikir . Life is so easy...cuma mungkin sunyi sedikit bila semua rakan2 saya juga sibuk dengan kerja seperti saya. Yang pasti saya cukup tenang. Tidak ada wajah masam yang menunggu setiap kali saya pulang dari kerja, tidak ada sesiapa yang akan menunjukkan wajah tidak puas hati ketika saya ingin melepaskan lelah di sofa. Nak buat kerja rumah atau tidak, tidak ada siapa yang ambil peduli. Semuanya cukup selesa. Sewa rumah saya bayar dari hasil titik peluh saya dan tidak ada sesiapa yang akan menghalau saya keluar selagi sewa di bayar setiap bulan.

Alam perkahwinan saya merupakan sesuatu yang tidak terjangkau oleh kata-kata. Sebelum tiba hari perkahwinan lagi, saya sudah menjangka saya tidak akan bahagia. Pilihan saya adalah pilihan yang tidak kena langsung. Bagi rakan-rakan rapat dan saudara terdekat yang amat mengenali saya, suami saya adalah pilihan saya yang salah. Sherry...antara rakan rapat yang mempertikaikan pilihan saya dan dia sebenarnya agak terperanjat dengan keputusan drastik saya kerana berkahwin tanpa sempat mengenali suami saya. Paksu dan maksu juga tidak suka. Di awal usia perkahwinan, saya mempertahankan pilihan saya dengan mengatakan suami saya akan jadi suami mithali......nyata kata-kata itu memakan diri saya hari ini.

Sherry sudah hampir meluat mendengar saya ingin cerai berkali-kali. Katanya, "dah bertahun-tahun nak bercerai, tak jugak bercerai." Dia tidak faham saya perlu mengalah demi anak-anak. Beberapa hari sudah, maksu datang ke tempat kerja saya untuk bertemu dengan Pengetua saya. Ketika dia hampir pulang saya sempat menghubunginya dan memberitahu, "Maksu, am getting divorce on 8 th July." Di hujung talian , maksu menjawab , "Good..am proud of you"....Melihat kesan saya di tumbuk, memang itu keputusan yang ingin maksu dengar dari mulut saya.

Beberapa hari sudah, Sarah anak saya agak tertekan dengan keadaan hubungan ibu bapanya yang tidak baik.Saya tahu dia keliru untuk memilih antara mummy dan ayahnya. Sebelum ini dia cukup pasti untuk mengikut saya tetapi berubah fikiran sebaik pulang dari rumah ibu mertua saya. Melihat dia menangis , saya turut tertekan, saya turut menangis kerana sangat kecewa suami tidak dapat memberi kebahagiaan kepada saya. Jika tidak pasti semua ini tidak akan berlaku. Di ketika itu, hati saya sudah terbelah... antara kebahagiaan saya atau kebahagiaan anak2. Saya sudah bersedia untuk mengalah seperti sebelum2nya tetapi nasib baik suami pulak bertegas untuk bercerai. Memang benar kami tidak sefahaman. Saya memang sudah tidak dapat menerima keluarganya lagi dan suami tidak dapat menerima kenyataan saya tidak suka keluarga dia.Teringat kata hakim tempoh hari ketika kami pergi untuk mengesahkan cerai. Hakim mengherdik suami apabila dia mengatakan sebab dia menghalau saya keluar rumah kerana saya tidak suka keluarganya. hakim memandang kearah suami." Ini isteri awak! Apa kaitannya dengan keluarga awak?". Suami terkedu dengan soalan itu, terus memaklum kepada hakim kami sudah setuju untuk memfailkan perceraian bersama.Orang mungkin tidak faham, suami saya sebenarnya berkahwin dengan keluarganya, BUKAN dengan saya.

Bertahan dari hari pertama usia perkahwinan hingga hampir mencecah sembilan tahun saya rasa sudah cukup lama. Paling yang membuat saya berasa sudah tiba masanya untuk kami membawa haluan masing-masing adalah kerana saya tidak berasa seperti tinggal di rumah saya sendiri. Sepanjang hidup saya, perkahwinan lah yang membuatkan saya seperti seorang yang menumpang tanpa membayar sewa. Pantang salah saja soalan atau permintaan saya , suami pasti menghalau saya keluar.Kali pertama saya di halau adalah apabila saya meminta pendapatnya untuk saya membeli rumah lain yang lebih besar dan mungkin jauh dari keluarganya. Bermula dari situ, pantang salah sikit memang saya akan di halau. Dari situasi itu juga menyedarkan saya bahawa saya perlu mempunyai rumah saya sendiri dan kerana asyik gagal mendapat jawapan darinya, saya membuat keputusan untuk membeli rumah di Sungai Petani, walau agak jauh sedikit dari keluarga saya yang tinggal di Butterworth tetapi tidak lah sejauh berada di Kuala Lumpur.Sejak berkahwin, hanya beberapa kali saja saya pulang menjenguk keluarga. Bukan suami menghalang tetapi agak susah untuk saya balik ke kampung sendirian dengan mengusung kesemua anak. Hendak ditinggal bersama suami, tok dan tok ayahnya pun nak jugak melihat cucu .

Apa-apa pun rumah di sungai Petani ini lah yang akan menyelamatkan saya dari menjadi seorang yang 'homeless' bersama anak-anak.

Tanggal 8 Julai nanti, ikatan perkahwinan kami akan jadi sejarah. Sarah jugak sudah agak tenang dan hati saya jugak sudah tenang dengan keputusan ini. Saya sudah tidak sabar untuk menjalani kehidupan baru ditempat baru.Saya akan melalui tempoh edah di rumah bekas suami nanti dan sebaik tamat tempoh edah iaitu pada 8 Oktober, saya akan menumpang di rumah Shan selama 1 bulan setengah dan kemudian balik kampung bersama anak2 sementara menanti pertukaran saya. Mudah-mudahan segalanya akan menjadi mudah. saya tidak sabar untuk mencorakkan rumah dan kehidupan saya. Memikirkan tidak akan ada lagi wajah garang dan masam yang akan menanti ketibaan saya pulang dari kerja sudah cukup membuat hati saya gembira. Saya tidak akan mendengar lagi tengkingan dan herdikan suami. Saya juga tidak akan bimbang akan di halau dari rumah lagi. Rumah di Sungai Petani akan menjadi rumah saya sepenuhnya. Saya sudah tidak sabar menanti anak-anak besar sedikit untuk diajak menonton wayang, makan di luar dan pergi bercuti.Saya sudah puas melepak di rumah.

Saya dan rakan-rakan sudah merancang, apabila cuti sekolah saja, saya boleh menghantar anak-anak kerumah bekas suami dan kemudian kami akan ke pulau atau ke luar negara. Saya benar-benar rindu kan pulau2 dan dasarnya. Kata Shan, " we can go to the islands like those days". Tidak sangka terlalu banyak yang saya rindukan. Menjadi ibu tunggal bukan sesuatu yang asing bagi saya kerana selama ini pun saya sudah seperti seorang ibu tunggal...menghadiri kenduri sanak saudara dan kawan2 tanpa suami, menghantar anak ke hospital sendirian. Saya sudah lama menjadi ibu tunggal sebenarnya dan saya sudah biasa menguruskan anak-anak sendirian.Kali ini saya harap Allah memudahkan saya membesar anak-anak tanpa banyak kerenah yang hendak di layan.

Doa dari kawan2 saya, semoga ada hikmah di sebalik penceraian ini. Semoga...perjalanan hidup saya lebih tenang dan semoga perkahwinan saya seterusnya...jika masih ada jodoh , dengan insan yang sejiwa dengan saya yang boleh menjadi suami, kekasih , sahabat yang sejati dan papa pada anak-anak saya. Saya ingin rasa dimiliki , dihargai, disayangi dan dicintai. Saya ingin dibelai dan dimanja suami. Saya inginkan suami yang akan membuat saya tersenyum bahagia melihatnya.Paling saya ingin ialah 'di hargai 'kerana saya adalah seorang yang akan memberi segala yang saya ada, mengorban diri untuk anak-anak dan keluarga. Yang saya mahu, hanyalah sedikit penghargaan yang di balas dengan KASIH SAYANG YANG MENDALAM. Itu saja, bukan harta yang berjuta. Semoga yang kedua jauh lebih baik dan memberi kebahagiaan kepada saya hingga ke mati. Amin. Saya gembira dengan perkahwinan kali kedua rakan2 saya yang jauh lebih baik...Rosliza, Hanum, Kak Nisa dan angah. The first is not always the best.