Sunday, January 25, 2009

Antara tugas dan tanggungjawab sebagai , isteri, ibu dan seorang guru.

Lama benar saya tidak menulis. Bukan sebab sudah hilang mood tetapi sebaik melangkah tahun baru, banyak kerja yang menanti. Tugas dan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri masih tidak berubah cuma kali ini Sarah yang berada dalam tahun dua sudah saya pindahkan ke sekolah baru bersebelahan dengan sekolah saya. Menguruskan Sarah tahun ini jauh lebih mudah dari tahun lepas. Kalau tahun lepas saya perlu menghantar Sarah ke sekolahnya dan kemudian menghantar Daniel ke nurseri, hari ini hanya Daniel yang perlu dihantar dahulu. Sarah akan terus mengikuti saya ke sekolah saya dan kemudian melalui pintu kecil terus tembus ke sekolahnya.Sekiranya saya perlu datang ke sekolah lebih awal, kami sama-sama akan makan tengahari di sekolah saya. Apabila saya bermesyuarat Sarah akan menunggu di meja saya dan pergi ke sekolah pada pukul 12.30 bersama anak-anak rakan saya yang lain.

Waktu pulang juga agak mudah, saya meminta kakak kantin membiarkan saja pintu kecil tidak berkunci pada waktu petang untuk memudahkan Sarah ke sekolah saya. Memandangkan waktu persekolahan Sarah hingga jam 6 dan 6.30 ptg dan saya pula pada pukul 6.45 petang, anak saya tu hanya perlu terus ke meja saya di dalam bilik guru atau tunggu di pejabat sebelum saya punch out. Beban tugas suami saya juga jauh lebih ringan kerana tidak perlu menjemputl Sarah pulang dari sekolah lamanya dengan mendukung Daniel dan memimpin Ariana. Jika dulu pada waktu hujan lebat saya tidak benarkan suami menjemputnya dan kerana itu saya perlu bergegas mengambil Sarah kerana bimbang dia ketakutan kalau saya lambat . Dulu kami sengaja daftarkannya ke sekolah elit berdekatan rumah, tapi bila memikirkan semua sekolah tidak ada banyak bezanya saya nekad memindahkannya ke sekolah kini.

Hari ini tugas saya semakin bertambah dengan tanggungjawab sebagai Pengerusi Kelab Guru dan Staf, Guru Disiplin , Ketua Rumah, Setiausaha Lembaga Disiplin dan jawatan Ketua Panitia Bahasa Inggeris . Yang paling membebankan pastinya sebagai Pengerusi Kelab Guru dan Staf. Jawatan ni kononnya jauh lebih 'besar' pangkatnya dari Pengetua kerana sebagai pengerusi saya harus menjaga kebajikan semua pihak. Sudah tentu sama ada saya akan dijadikan pengantaraan untuk pihak pentadbir mencapai hasrat mereka atau pun saya yang akan memanaskan kerusi pihak pentadbir. Of course saya tidak akan benarkan diri saya dipergunakan oleh pihak pentadbir untuk mempengaruhi guru2 mengikut telunjuk mereka. Yang nyata tugas ni tidak banyak memberi faedah kepada saya selain menambah kepada beban tugas yang sedia ada.

Mesyuarat yang saya pengerusikan baru2 ini cukup hangat dengan perdebatan dan rakan2 memuji sikap saya yang profesional ketika mengendalikan mesyuarat. Banyak yang ingin saya ceritakan. Dalam sekolah saya ini ada seorang PK1 yang telah menyalahgunakan kuasa dan sebaik saya menjadi Pengerusi dia bukan main memeluk dan mencium saya. Malang sekali bagi dia kerana terpaksa menerima seorang wakil Kesatuan Perguruan sebagai Pengerusi Kelab Guru dan Staf di sekolahnya. Saya takkan biarkan dia terus bermaharajalela.Baca lagi tentang PK1 saya ini dalam blog saya yang lain daridalambilikguru.blogspot.com