Tuesday, September 16, 2008

Bulan Puasa Yang Saya Rindui

Setiap kali menjelangnya Ramadhan, pasti ingatan saya melayang ke saat-saat indah menyambut bulan ini di kampung. Walau kampung saya tidaklah seperti kampung orang lain yang ada sungai, sawah padi, mahu pun pohon kelapa yang melambai tetapi kemeriahan menyambut Ramadhan di di Bagan Dalam, Butterworth tetap sama. Zaman ketika saya kecil, kami sering ke jalanraya melihat kereta berderet (yang dipanggil Queue) menunggu giliran menaiki Ferry ke Pulau Pinang. Bila hampir menjelang raya, jumlah kereta yang "queue" memang amat luar biasa.

Ramadhan bukan saja merapatkan hubungan kami sekeluarga , malah suasana kejiranan memang cukup terasa. Setiap hari mak pasti masak lebih untuk bertukar hidangan dengan jiran dan bersedekah kepada golongan miskin. Ketika inilah, kami adik beradik akan mengambil tanggungjawab menghantar juadah ke rumah jiran.Memang amat meyeronokkan. Paling mengembirakan ialah bila mana sepanjang bulan Ramadhan mak akan menjamu anak-anak miskin dan anak-anak jiran di rumah dan tugas saya ialah memastikan semua anak-anak ini mendapat makanan dan tidak ada yang ketinggalan. Saya juga perlu memastikan mereka mendapat tambahan air dan makanan . Bayangkan setiap malam berbuka dengan puluhan anak-anak ini. Memang detik ini yang paling dirindui.

Biarpun kami beberapa kali berpindah rumah setelah ayah balik dari luar negara tetapi amalan ini tetap mak teruskan di kejiranan yang lain.

Hari ini, saya masih lagi merindui detik-detik itu tapi mak tidaklah sekuat dulu dan kami yang sudah besar ni, sudah tidak dapat menolong kerana tinggal berjauhan. Kata mak, kadang-kadang saja mak buat kenduri berbuka untuk budak-budak yang datang mengaji Quran di rumah. Kalau hendak buat sepanjang malam mungkin agak sukar jika tanpa bantuan. Insyaallah jika saya balik awal , sekurang2nya sehari dua pun sudah dapat menghilangkan kerinduan saya kepada kenangan lama.