Monday, September 8, 2008

LANJUTAN RINDU YANG SARAT

Lanjutan dari kisah rindu yang sarat, saya terus menghubungi ibu tiri Sudirman Haji Arshad yang saya panggil makcik . Berhari panggilan saya tidak berjawab. Hari ini sekali lagi saya hubungi dan kali ini saya tinggalkan pesanan didalam voice mail, "Assalamualaikum, makcik, ini Yatie. Tie teringatkan makcik. Selamat Berpuasa".

Sebaik saja saya hubungi MakYam, saya hubungi Kak Bahyah Mahmood (Kak BAM) untuk bertanya khabar .Kak BAM mengucapkan Selamat Berpuasa dan terus meminta nombor telefon saya beserta alamat. Kemudian kami bercerita tentang anaknya yang akan melangsungkan perkahwinan Disember ini. Habis bercerita, Kak Bahyah menambah,"Tie, Tie tahu tak Mak Yam dah meninggal".Saya tersentak, langsung meminta Kak Bahyah mengulangi kata-katanya."Mak Yam dah meninggal beberapa hari sebelum puasa.Kak Diah (kakak Sudir) yang memaklumkannya kepada Kak Bahyah.Puas Kak Bahyah cari nombor Tie tapi tidak berjumpa". Kata kak Bahyah dia berdoa sangat agar saya akan menghubunginya." Saya hanya beristighfar berkali-kali. Hanya Tuhan yang tahu betapa terkilannya saya tidak dapat bercakap dengan makcik dan bertemunya sekali lagi sebelum dia pergi. Saya sudah kehilangan seorang ibu hari ini.Saya tidak dapat menahan kesedihan lagi, terus menangis. Kak Bahyah tak terkata apa-apa, hanya menasihatkan saya berdoa untuk kesejahteraan makcik.Sebaik saya matikan talian, saya menangis sepuasnya.Teringat kata-kata makcik agar saya terus menghubunginya.Baru saja beberapa minggu yang lalu, saya minta kawan saya yang akan balik ke Temerloh untuk singgah ke rumah makcik untuk saya kirimkan sedikit wang tanda ingatan dari saya. Malang kawan saya tiada kesempatan, jika tidak pasti dia tahu tentang pemergian makcik.

Saya pulang ke rumah hari ini dengan sedikit ingatan tentang hala tuju saya. Habis beberapa lampu merah saya langgar. Sepanjang memandu kereta , saya hanya menangis . Hanya Tuhan yang tahu kepedihan hati saya kehilangan seorang ibu yang saya sayangi. Bagaimana boleh saya tidak sedih, ketika setiap kali kunjungan saya ke Temerloh, makcik pasti sibuk menyediakan makan tengahari untuk saya. Selalu juga saya kirim kuih raya kepada makcik melalui bas ke Temerloh dan makcik akan ambil di stesyen bas kerana semua orang memang sudah kenal makcik. Siapa yang tidak kenal ibu kepada Sudirman Haji Arshad ini, amat aktif berpolitik dan begitu ramah mesra.

Hari ini juga saya terima satu pengajaran besar, jika kita rindukan seseorang, jangan bertangguh untuk mengatakannya.Tunjukkan perasaan itu dengan menghubungi mereka. Hari ini juga saya hubungi maksu yang sudah seperti mama saya.Maksu juga antara 'ibu mentua tak jadi' saya.Maksudnya hampir menjadi ibu mentua tapi jodoh tidak kesampaian dengan anaknya kerana kesibukan saya.Khabar dari maksu, paksu diserang sakit jantung. Saya tidak sabar untuk menemui maksu dan paksu Jumaat ini. Terlalu lama saya tidak berjumpa mereka. Apa yang saya syukuri hari ini ialah berita ini saya terima sebelum paksu menutup mata. Saya tidak mahu menyesal dan terkilan lagi. Cukup dengan apa yang terjadi hari ini.

Al Fatihah untuk makcik. Salam kasih Tie untuk makcik di sana. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh makcik yang ingin sangat saya panggil emak.