Thursday, September 4, 2008

KIsah KAMI

Awal pagi ini selepas bersahur, saya termenung dan tiba-tiba teringatkan seorang dari teman baik saya, Sherry. Saya capai telefon dan menghantar pesanan ringkas untuk Sherry, "Selamat berpuasa. Jangan lupa bangun sahur." Pesanan saya dibalas ringkas, "u2".Lantas teringat akan saya kenangan-kenangan kami bersama.Sherry, saya kenali di awal waktu kami di Universiti pada tahun 1997. Saya menumpangkan dia balik ke rumah dan sejak itu kami terus akrab dan terus ke sana kemari bersama tanpa mengira waktu. Dari Sherry juga , saya mula mengenali kelab-kelab malam, tapi kami bukan pergi berdua tetapi ditemani adik dan suami adiknya.Terus terang , saya memang tidak suka dengan bau busuk arak dan kebisingan kelab malam, jauh sangat dari sifat saya yang sukakan ketenangan laut dan dasarnya.Memang melihat rakan saya ini, pasti orang memandang serong pada dia tapi saya senang dengan Sherry. Di kelab , saya hanya menemani Sherry bermain snooker dan berkaraoke, sambil melayan mata melihat perangai muda mudi yang sakan menari dengan arak di tangan. Peluang itu saya guna untuk meneropong andai ada pelajar saya yang menjadikan kelab malam persinggahan mereka.Kalau setakat 'hardrock cafe' memang beberapa kali juga saya ke sana pada waktu malam, selebihnya di kelab lain yang saya sendiri pun tak pasti namanya. Ada kalanya saya menemani rakan2 cina saya yang datang dari Singapura.Setiap kali balik dari kelab, saya dan seorang lagi rakan karib saya, Shan akan merungut panjang dan membasuh rambut yang busuk dengan bau rokok .

Saya tidak melihat Sherry sebagai pengaruh buruk pada saya kerana Sherry juga sangat mengambil berat hal-hal berkaitan agama. Masalah dia hanya cara dia berpakaian saja dan itu bukan masalah besar pada saya. Aktiviti saya yang selebih dengan Sherry ketika zaman bujang saya ialah memandu laju di lebuhraya.Kalau di jalan biasa, saya memang lebih banyak saman dari Sherry.Kebanyakannya kerana melanggar lampu merah.

Keakraban saya dengan Sherry bertambah selepas satu insiden yang tak mungkin kami lupa.

Tahun itu saya tidak pasti tahun apa, 1998 atau 1999, Sherry menelefon saya bertanya bila saya hendak balik kampung beraya sebab dia ingin berkonvoi bersama saya, kebetulannya dia tinggal di Taiping dan saya di Butterworth. Memang cara kami amat mudah,nak balik kampung saja, hanya 'pack' serta merta dan terus memandu balik. Saya memang sudah biasa balik sendirian dan punca utama saya selalu memecut laju ialah kerana nak cepat sampai sebab boring memandu sendirian dan yang menjadi mangsa adalah kereta kancil kesayangan saya yang selalu saya belasah sehingga 130 /140 km/j.Mula-mula memang bergegar tapi bila sudah biasa memandu laju, kereta saya seperti sudah terbiasa dengan kelajuan begitu. Saya memang 'looking forward to" untuk berkonvoi dengan Sherry. Sekurang-kurangnya masing-masing dapat mengawal kelajuan masing-masing dengan menunggu di tempat-tempat tertentu.

Kami kemudiannya berkonvoi ke kampung dua hari sebelum raya. Sehari sebelum hari raya pada tahun itu, ketika saya sibuk menyiapkan kerja rumah, kakak ipar baru saya (isteri abang no 2) mengajak saya ke pasaraya. Memang pada mulanya saya bimbang abang saya akan marah tetapi kakak ipar saya kata tidak apa sebab abang saya keluar ke pasar dengan mak. Sebaik kami balik dari pasaraya, abang saya terus memarahi saya kerana mengajak isterinya keluar tanpa kebenaran dia.Puas saya jelaskan yang isteri dia yang ajak saya, dia masih menyalahkan saya sedangkan isterinya hanya diam membatu tak cakap sepatah pun.Entahlah kenapa setelah kawin abang saya menjadi sangat panas baran . Geram saya pada dia dan paling saya geram pada isteri dia. Kami bertekak panjang dan akhir kepada pertengkaran itu, mak memarahi saya kerana meninggikan suara pada abang yang memang menjadi kesayangan mak.Sepatah kata mak,"Mak nak report kat ayah", saya terus naik ke atas rumah, mengemas barang-barang saya dan secara diam memasukkan barang kedalam kereta dan malam raya itu, saya nekad balik ke KL.Biar saya raya sendiri dari sakit hati.Saya menangis di dalam kereta kerana saya tahu saya tidak bersalah. Saya geram kerana kakak ipar tidak bersuara walaupun dia tahu dia yang mengajak saya. Bukan abang saya tidak tahu, kalau saya hendak ke mana, saya tak perlukan sesiapa untuk menemani saya. Saya memang cukup berdikari.Saya nekad membuang kesedihan saya malam itu. Saya harus menumpukan pada pemanduan saya kerana saya ingin memandu lebih laju lagi malam itu.

Saya masih ingat, ketika saya bertolak jam sudah hampir menunjukkan pukul 7.15 malam dan sudah hampir dengan waktu berbuka. Sebaik azan berkumandang saya capai sebotol air mineral untuk berbuka. Malam makin gelap dan sejam selepas bertolak, kereta saya buat hal.Puncanya kerana saya telah meredah air yang agak dalam sebelum itu. Saya berdoa semoga Tuhan bersama saya pada malam itu untuk membantu saya. Saya berhentikan kereta di hentian rehat, mengambil lampu suluh dan mula memeriksa kereta tapi tak nampak masalahnya.Saya tahu adalah tidak selamat untuk saya berada diwaktu-waktu begitu di tempat sebegitu. Saya mula bertolak perlahan dan tiba2 teringatkan Sherry. Saya hubungi Sherry, soalan pertamanya, "where are you now?" dan saya jawab. "On my way back to KL". Sherry terkejut, "What happened?". Belum sempat saya menjawab, dia terus berkata, " come to my house".Undangannya ibarat kecil tapak tangan , nyiru saya tadahkan.Mungkin ini semua rancangan dari Allah untuk saya, kereta saya tidak buat hal sepanjang saya mencari jalan kerumah Sherry. Sherry berbohong pada keluarganya bahawa ibu bapa saya pergi umrah dan saya beraya sendiri. Keluarganya menerima saya dengan tangan terbuka. Talian telefon saya matikan, saya tidak mahu sesiapa pun mencari saya.Saya tahu mak akan meminta maksu menghubungi saya kerana saya amat rapat dengan maksu . Tapi pesanan yang maksu tinggalkan pun tidak saya jawab. Hari Raya saya sambut dengan gembira di rumah Sherry, seronok melayan anak-anak buahnya bermain berkejaran di Lake Garden. Semua rumah saudaranya saya kunjungi dan akhir perjalanan ,kami ke sempadan Siam membeli belah dan akhirnya sebaik kereta selesai dibaiki, saya berkonvoi semula ke KL bersama Sherry.

Hari ini, hubungan saya dan keluarganya ibarat keluarga sendiri. Sehingga hari ini juga tidak ada sesiapa dari keluarganya yang tahu cerita yang sebenarnya berlaku pada hari raya tahun itu. Suami saya memang tidak berapa mengemari saya berkawan dengan Sherry kerana penampilannya tapi mana mungkin saya lupakan jasa kawan saya ini. Sebab itu sehingga hari ini, kalau sepatah saja yang keluar dari mulut Sherry memerlukan pertolongan saya, saya tidak pernah menolak. Walau terpaksa keluar seawal pagi atau lewat malam, saya tidak kisah menemaninya kemana saja.

Sejak insiden tersebut, setahun saya tidak balik ke rumah. Bunyinya macam lama tapi bagi saya yang biasa berjauhan dengan keluarga, ianya adalah perkara biasa. Saya tidak ingat bagaimana hubungan saya dengan mak kembali baik tapi dengan Ami abang saya, saya merendahkan diri meminta maaf pada dia pada hari raya berikutnya. Antara sebabnya ialah saya amat kenal abang saya , egonya sangat tinggi. Ketika waktu itu, abang saya mungkin sudah tidak kenal lagi satu-satunya adik perempuannya ini .Kedua, kerana saya adalah adiknya. Adik kena beralah pada abang. Ketiga , kerana saya seorang pemaaf. Tidak ada yang saya simpan kecuali ingatan terhadap kisah pada malam itu.

Sebaik terbit matahari hari ini, saya teringatkan seorang lagi kawan baik saya 'Leong". Beberapa bulan yang lepas, dia menghantar pesanan, "Darling, I know u are bz, but please dun forget me". Hari ini saya perlu membalas pesanan itu setelah berbulan. Teruknya saya. Dalam kesibukan saya menjalani kehidupan hari ini, saya amat pasti biar 20 tahun akan datang sekali pun, kawan-kawan saya tidak akan melupakan saya sebagaimana saya sentiasa mengingati mereka.