Saturday, August 23, 2008

MENGAJAR ANAK-ANAK BERSOLAT

Semalam sengaja saya pelawa Sarah untuk mengerjakan solat berjamaah bersama saya sementelah ayahnya telah belikan telekung untuk persediaannya belajar solat di kelas agama.Mendengar persetujuan dari Sarah, si adik Arianna bergegas memberitahu dia pun ingin bersolat sama dan berjanji untuk 'behave' jika saya izinkan dia.

Memandangkan Arianna tiada telekung yang sepadan dengan badannya yang kecil, saya sarungkan saja telekung saya yang agak labuh tanpa pakaikan dia kainnya. Memang kelihatan agak melucukan.Kami bersolat di ruang tamu kerana agak luas sedikit. Suami hanya melihat telatah kami bertiga dengan tersenyum sambil melayan Daniel di riba.

Saya mengangkat takbir dan memulakan bacaan fatihah dengan suara yang sederhana.Belum habis baris ayat pertama saya baca, terdengar suara Ariana ketawa kemudian diikuti dengan Sarah. Bacaan saya terhenti, menahan lucu di hati saya. Hilang langsung konsentrasi saya dan akhirnya tawa saya pecah bersama kelucuan anak-anak.

Setelah reda ketawa, saya pesan pada Arianna "adik, when we pray we cannot laugh,it's wrong. nanti Allah marah". Sarah pulak menambah, " Itu lah adik, sapa suruh adik laugh, nanti Allah marah". "Ok mummy, this time adik tak laugh lagi", balas Arianna. Anak2 saya ni memang bercakap bercampur-campur, kadang berbahasa Inggeris saja , kadang pula berbahasa Melayu saja dan kebanyakan masa bercampur Inggeris dan Melayu. Sejak memasuki alam persekolahan dan tadika, bahasa mereka menjadi bercampur-campur.

Seterusnya kami mencuba lagi.Kali ini segalanya nampak macam ok. Tak ada lagi yang ketawa bila saya mula mengangkat takbir. Saya mulakan sekali lagi bacaan al-Fatihah. Baru saja saya baca baris pertama, terdengar suara Arianna menyambung bacaan Fatihah saya dengan suara yang kuat. Sekali lagi bacaan saya terhenti, menahan kelucuan di hati. Saya biarkan dia habisi bacaan Fatihahnya. Sejak berusia tiga tahun lagi, anak-anak saya cepat menangkap bacaan Fatihah yang didengar dari kaset datuk mereka. Sebaik habis saja bacaan Fatihah, Arianna menyambung lagi bacaannya . Saya teliti bacaannya. "Allahummabariklana fimarazaktana wakhinaa'za bannar". Rupa-rupanya dia baca doa makan, apa lagi berderai tawa saya. Saya terus ambil sejadah dan kata bahawa saya nak sembahyang sorang-sorang . Kakak mengejar mengikut saya. Saya terus bersolat dan sebaik selesai solat baru saya perasan sejadah Sarah menghadap ke arah lain kerana ruang bilik mereka yang sempit.

Di dapur, saya tanya suami, tidakkah dia merasa lucu dengan gelagat Arianna tadi. Katanya, memanglah agak lucu tapi cara saya meninggalkan Arianna dan bersolat bersama Sarah , sebenarnya boleh membunuh minatnya untuk bersolat pada masa akan datang. Setuju dengan kata-kata suami, saya terus merapati Arianna di ruang tamu dan bertanya padanya sama ada dia ingin bersolat dengan saya lagi atau tidak. Dia membalas ringkas, "tak nak!". Saya katakan padanya lagi, " Adik, tomorrow adik pray with mummy again ya, tadi tu mummy bukan marah adik, mummy rasa adik ni funny sangat. Adik ni pandai buat kelakar kan." Dia mengangguk tersenyum. "Come, give mummy one big hug." Dia berlari dan terus memeluk saya dengan erat. Esok, dia pasti takkan menolak pelawaan saya untuk bersolat lagi.