Monday, June 16, 2008

HARI BAPA


Semalam , 15 hb Jun merupakan Hari Bapa. Hampir waktu tengahari baru saya perasan bila suami beritahu. Lantas teringat ayah kat Penang.Tak patut betul kalau saya lupakan hari ini sebab jasa ayah tidak kurang dari jasa emak.


Selepas bersara ayah hanya duduk dirumah sambil membantu adik saya Zaki di kedainya.Dulu, ayah seorang Pengurus di kilang gula. Dari kilang di Perai tulah semua orang dapat makan gula.Ayah semasa muda memang kacak. Handsome sangat sampaikan setiap kali ayah datang ke sekolah untuk mengambil kad laporan, pasti semua kawan-kawan berbisik,"handsome nya ayah Yati. Cikgu-cikgu pun pernah berkata, " Wah, your father so good looking."Dalam usia 69 tahun sekarang pun, ayah masih kacak .Sikap ayah yang paling saya suka ialah suka melawak tapi bila ayah kata sesuatu yang dia tak suka, boleh sakit hati jugak.Teringat sekali tu, setelah agak lama tak balik ke rumah di PJ ketika itu kerana terlalu sibuk dengan kerja di KL, ayah menyindir saya ,"balik buat apa?".Hari tu jugak saya balik ke KL semula menyambut Aidil adha sorang diri di rumah sewa.

Semasa kecil , yang paling saya ingat , ayah tak pernah lewat balik kerja. Pukul tiga petang ayah akan sampai rumah dan kami akan menunggu meminta duit untuk beli gula-gula setiap hari. Dengan jawatan sebagai pengurus memang kehidupan kami Alhamdulillah tidak pernah susah. Sejak kecil kesana kemari dengan kereta yang kerap bertukar. Begitu juga di kampung kami, keluarga kami merupakan yang terawal memiliki televisyen dari hitam putih hinggalah ke warna.Justeru itu rumah kami memang sentiasa menjadi tumpuan untuk budak2 kampung menumpang menonton TV.Pakaian kami juga dari jenis yang berjenama dan kami juga pernah mempunyai pembantu rumah. Semuanya ayah sediakan dengan emak hanya menjadi suri rumah. Paling saya suka ayah membawa kami makan sate setiap hujung minggu di tepi pantai dan kemudian ketika balik dari situ kami akan singgah di Grand Supermarket untuk beli kek dan ais krim. Seronoknya zaman kanak-kanak saya bersama keluarga.Cuma yang tak seronok bila mak dan arwah nenek memang kuat berleter. Itu saja yang saya pening.Ayah tidak banyak cakap tapi bila 'bos' dah mengadu macam-macam hal tentang kami, alamat adalah yang kena.
Ketika saya berada di tingkatan 2, ayah selalu ke luarnegera baik untuk berkursus atau membuka kilang di luar negara. Kali terakhir ayah ke luar negara ialah pada tahun 1986 jika tidak salah saya. Masa tu ayah baru balik dari Sri Langka setelah keadaan di sana sudah tidak aman. Dan selepas itu, kami semua berpindah ke Kuala Lumpur mengikut ayah yang bekerja di sini. Setelah bersara ayah balik ke Penang sementara saya terus bekerja di sini sehinggalah ke hari ini.Sebelum itu entah sudah berapa kali kami berpindah randah. Saya memang tidak berapa terasa keseronokan berpindah sebab tinggal di asrama. Yang saya tahu, beberapa kali juga saya balik kerumah yang baru dari Bagan Dalam ke Perai, ke Pokok Sena, Sungai Petani dan Kuala Lumpur.


Ayah juga tidak lokek untuk berbelanja untuk kami yang seramai sembilan orang ini. Adik saya Firdaus sudah dibeli beberapa motosikal kerana selalu terlibat dengan kemalangan. Puas saya nasihatkan ayah untuk tidak terlalu manjakan Firdaus tapi entahlah. Adik-adik saya kebanyakannya memang terlalu dimanjakan. Kakak juga sempat merasa memakai Wira setelah saya menolak untuk dibelikan kereta, namun setelah penat mendaki bukit untuk ke kolej TAR kerana mengawas peperiksaan, saya menangis di telefon meminta ayah belikan Kancil saja untuk saya dengan bayaran muka dibayar ayah dan bulanannya saya tanggung.Rasanya dalam ramai adik beradik, saya yang paling tidak dimanjakan. Mungkin sebab hidup saya hanya kenal asrama, guru , kawan2 dan hantu2 di asrama tersebut.

Hari ini ayah hanya bergantung pada bayaran rumah-rumah sewa untuk kegunaan harian. Jika sebelum ini hanya mak yang menjadi tumpuan diberi wang belanja, kini ayah juga begitu. Dengan duit sendiri dan duit anak-anaklah mak dan ayah sudah beberapa kali menunaikan haji dan umrah. Saya memohon pada Illahi agar dilimpahkan rezeki supaya lebih banyak yang dapat saya hulurkan baik pada emak atau ayah sebagai membalas jasa keduanya.


Walaupun saya tidak pernah diajar untuk mencium tangan ayah, tidak pernah diajar menyambut hari ibu mahupun bapa . Sebagai anak kesedaran sendiri harus ada. Jam 9 malam, saya telefon ayah melalui nombor mak dan mengucapkan Selamat Hari Bapa untuk ayah. Ayah mengucapkan terima kasih dan saya tahu ayah sedang tersenyum dan bangga ada anak seperti saya. Selepas itu saya telefon adik saya di Melaka mengingatkan dia dan dia kata dia akan sms aja sebab segan tak tahu nak kata apa-apa. Saya katakan, cakap saja , bukannya susah. Pada abang-abang dan adik-adik lain saya hantarkan pesanan, "Hari ini Hari Bapa. Jangan lupa wish ayah. Aku dah wish, tak ada hadiah pun tak apa. tapi aku tetap bagi". Harap mereka tidak segan untuk mengucapkannya. Bila ibu bapa tidak pernah mengajar anak-anak meluahkan kasih dan sayang, memang bukan senang untuk membuatkan mereka meluahkannya apabila dewasa.Hari ini, setiap kali saya hantar anak-anak ke sekolah, saya pasti luahkan,I love you sayang dan dibalas oleh anak-anak saya, I love you too mummy.Anak-anak saya juga setiap malam pasti datang memberi ciuman dan pelukan dengan ucapan yang sama.Apa yang mereka lakukan bukan dari ajaran saya dan suami, tapi saya dengar Arianna, anak kedua saya yang berusia 4 tahun mengajar kakaknya yang berusia 6 tahun berbuat demikian.Semoga mereka tidak jemu mencium dan memeluk kami berdua dan adik kecil mereka.