Friday, February 8, 2008

MANA AKAL IBU BAPA HARI INI

Membaca berbagai kisah kanak-kanak kecil jatuh dari tingkat yang tinggi membuatkan hati terasa ingin marah dengan kecuaian ibu bapa sekarang ini. Dimana diletakkan akal yang panjang jika kanak-kanak kecil dibiarkan tinggal sendirian di rumah tanpa pengawasan. Dimana akal yang dikurniakan Allah ini digunakan, jika rumah yang tinggi tidak diletakkan jeriji dan berkunci.Kalau sudah tidak berjeriji kenapa harus diletak anak ditepi tingkap pula. Geram sangat bila memikirkan perkara seperti ini harus terjadi. Tak dapat saya bayangkan sakit yang harus ditanggung kanak-kanak ini ketika badan jatuh menghempas bumi.MANA AKAL IBU BAPA HARI INI ? Sedangkan setiap hari saya tidak lelap tidur memikirkan adakah anak saya selamat walau ketika mereka sedang nyenyak tidur.

Teringat ketika pertama kali melawat rumah yang bakal kami sekeluarga duduki ,Pangsapuri 15 tingkat dipinggir ibu kota. Perkara pertama yang terpacul dari mulut saya ialah ' mesti pasang grill' dan suami membalas 'banyak lagi perkara lain yang kita perlu fikirkan?" Geram dengan kata-kata suami, saya balas dengan kata-kata 'yalah, tunggu sampai bila cari anak tak jumpa, jenguk luar tingkap, anak jatuh di bawah, baru fikir nak pasangkan?'. Dengan kata-kata itu, kami masuk kerumah di tingkat 4 dengan lengkap berjeriji dan berkunci. Saya juga pastikan kunci diletak pada tempat yang tinggi tapi mudah dicari untuk waktu-waktu kecemasan.

Cuba renungkan kisah dibawah ini dan bayangkan andai yang terjatuh adalah anak-anak anda.




Parah jatuh flet


KUALA LUMPUR: Kecuaian syarikat pemaju perumahan tidak memasang besi keselamatan pada tingkap kediaman membawa padah apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terhempas ke bawah pangsapuri didiami, pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 10 pagi, mangsa yang tinggal di tingkat satu pangsapuri perumahan polis, Desa Tasek, Sungai Besi di sini, terjatuh dari katil dua tingkat diletakkan bersebelahan tingkap kaca ‘naco’ di biliknya.

Akibat kejadian itu, anak bongsu daripada empat beradik itu parah di kepala akibat terhempas di lantai konkrit di bawah biliknya.

Saksi kejadian, Mohd Farid Zakaria, 14, berkata dia bergegas ke Blok 11 sebaik mengetahui kejadian itu dan terkejut apabila melihat kanak-kanak berkenaan bergayut pada kayu sisi pada tingkap kaca rumahnya.

“Ketika itu saya dapati lima keping kaca tingkap terbabit pecah berderai dan jatuh. Namun saya tidak dapat pastikan bagaimanapun kepingan kaca tingkap itu boleh pecah.

“Pada masa sama, rakan saya, Mohd Hafizan Azhari, 14, cuba menyelamatkan kanak-kanak itu dengan bergegas ke rumahnya. Ketika itu pintu rumah terbabit tidak berkunci, namun sebaik Farid tiba di ruang tamu rumah, dia sudah terjatuh,” katanya.

Menurutnya, dia tergamam sehingga tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya sempat melihat badan terkena konkrit di atas tingkap di rumah tingkat bawah sebelum terhempas ke lantai.

“Yang saya pasti, kepalanya tersembam dulu ke lantai dan berdarah. Saya segera mendukung kanak-kanak itu sebelum meletakkannya di pondok rehat berhampiran.

“Ketika itu, mangsa dalam keadaan sedar dan menangis. Seorang jiran kemudian membawa ke kereta sebelum dihantar ke klinik kerajaan di Sungai Besi, sebelum dipindahkan ke Wad Kecemasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM),” katanya.

Seorang lagi saksi, Rosnani Abdullah, 47, berkata mulanya dia terdengar bunyi kaca pecah dan menyangka jirannya mungkin bergaduh suami isteri.

“Namun saya tergamam melihat kanak-kanak dikenali sebagai Azhar terjatuh melalui tingkap bilik tanpa sempat disambut sesiapa,” katanya masih tergamam.

Sementara itu, usaha wartawan Harian Metro menemui keluarga mangsa gagal berikutan kediaman mereka kosong dan juga tidak kelihatan di luar Wad Kecemasan HUKM.

Beberapa penduduk yang ditemui kesal kerana pemaju perumahan polis tidak meletakkan batang besi keselamatan seperti lazim dipasang pada tingkap rumah walaupun pangsapuri itu dihuni sejak lebih 10 tahun lalu.

Difahamkan, hanya tingkap rumah di tingkat bawah dipasang besi keselamatan manakala di tingkat dua hingga lima dibiarkan kosong.

Pada 23 Januari lalu, Ikhwan Luqman Mohd Farid Al’ Azmi, 4, maut selepas terjatuh tingkat empat kuarters kediaman pekerja di Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz, Durian Daun, Melaka.

Enam hari sebelum itu, seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Salim Syahir Mohamad Kamil, 3, maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh berek perumahan tentera Desa Tun Hussein Onn di Jalan Jelatek, di sini.

Kejadian sama pernah dilaporkan berlaku pada 29 Disember lalu apabila kanak-kanak perempuan berusia enam tahun meninggal dunia selepas terjatuh tingkap rumah di tingkat 10, Pangsapuri Menjalara, Kepong, di sini.