Monday, December 3, 2007

NURIN JAZLIN JAZIMIN dalam kenangan

Nurin Jazlin Jazimin.........our little angel. Menyebut namanya saja , hati saya menjadi sebak. Nurin ibarat anak kepada setiap orang yang bergelar ibu dan ayah. Pembunuhan ke atas Nurin menyentap jiwa saya.Cara bagaimana Nurin di bunuh sukar untuk diterima.

Saya peluk erat ketiga-tiga anak saya yang masih kecil. Saya dan ibu bapa yang lain masih boleh bersyukur kerana masih boleh memeluk anak masing-masing. Saya tidak dapat bayangkan perasaan ibu bapa Nurin.Dugaan seperti ini terlalu berat untuk sesiapa saja.

Apa yang mampu dilakukan hanyalah mengharap tidak ada lagi anak-anak yang menjadi mangsa kekejaman manusia berhati binatang. Paling dikesali dan ditakuti, manusia binatang ini masih bebas mencari mangsa seterusnya. Semoga Allah melindungi anak-anak saya dan anak-anak yang lain. Al-Fatihah untuk Nurin tersayang. Semoga anakanda bahagia disisiNya.



Tuesday, November 27, 2007

Kes Nurin paling dapat tumpuan - Merdeka Centre


KUALA LUMPUR: Kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang mendapat liputan meluas media massa tempatan September lalu memberi kesan mendalam kepada masyarakat berbilang kaum negara ini.

Kaji selidik yang dijalankan firma penyelidikan, Merdeka Centre dengan kerjasama The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) mendapat 43 peratus responden yang meletakkan kes membabitkan kanak-kanak itu pada kedudukan teratas.

Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian, berkata walaupun selepas sebulan kes Nurin Jazlin berlalu, kejadian itu tetap mendapat tumpuan masyarakat apabila mencatat purata 95 peratus responden mengetahuinya.

"Kes itu (Nurin) juga mencatatkan kadar pecahan tinggi mengikut kaum iaitu masing-masing 99 peratus responden kaum India mengetahuinya, diikuti Melayu (97 peratus) dan Cina (92 peratus).

"Daripada responden yang ada, 47 peratus berpuas hati usaha polis menyelesaikan kes itu," katanya.

Isu lain yang turut mendapat perhatian umum adalah pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (12 peratus), perbicaraan kes pembunuhan rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibu (9 peratus) dan demonstrasi jalanan di Batu Burok (8 peratus).

Selain isu jenayah dan keselamatan awam, isu lain yang turut mendapat perhatian adalah masalah sosial, rasuah dan salah guna kuasa serta ekonomi.

Ibrahim berkata, 30 peratus responden berpendapat setiap anggota masyarakat bertanggungjawab menjamin keselamatan semua pihak, manakala 24 peratus lagi meletakkan tugas itu kepada polis dan pasukan keselamatan lain.

"Manakala 18 peratus responden menganggap kerajaan perlu dipertanggungjawabkan dalam hal keselamatan, manakala 15 peratus lagi berpendapat ibu bapa dan keluarga juga wajar memainkan peranan masing-masing," katanya.

Mengenai tugas yang dilaksanakan polis, sebanyak 58 peratus responden secara purata berpuas hati dengan polis iaitu 76 peratus bagi India dan Melayu (72 peratus).

Berkaitan klip video kes Lingam yang mengandungi perbualan telefon seorang peguam terkemuka dengan hakim kanan untuk mengatur pelantikan hakim di negara ini, secara purata responden sama ada di bandar atau luar bandar dan pecahan mengikut kaum, masing-masing memberi maklum balas seimbang.

Bagaimanapun, 50 peratus responden tidak mengetahui mengenai isu klip video itu, sekali gus dilihat tidak memberi kesan kepada undi mereka pada pilihan raya umum akan datang.

Selain itu, 51 peratus responden menganggap institusi kehakiman menjalankan tugas dengan dipengaruhi politik, manakala 23 peratus berpendapat badan kehakiman itu melaksanakan tugas dengan adil.

- Berita Harian